welcome

Wednesday, November 04, 2009

HISTERIA..jaga2

salam...
kali ni ak nk share sumthing yg rare..
yg korg x penah bace sebelom ni..
coz benda ni x publish kat mne2..
metro xde, NSTP pun x dpt, kosmo pun ak tolak tepi je..

pasal histeria..
korg penah dengar kan?klu x penah, mknenye korg tipu atau korg memang tinggal ngan katak kt bwh tempurung..
kan ad 1 filem tajuk histeria x lame dulu..
dh tgk?
amacam?best ke?bagi ak so-so je la..

tp korg nk tau x pasal kisah histeria tu?

meh ak explain..igt...ni eks-ke-lu-sif utk korg...

Antara watak yang ada di dalam filem “Histeria” ialah Murni lakonan Liyana Jasmay. Watak dan perwatakan Murni dalam cerita ini boleh diinterpretasikan melalui beberapa teori personaliti yang akan dibincangkan.

Teori psikoanalisa telah dikemukakan oleh Sigmund Freud. Menurut Freud, manusia dilahirkan dengan naluri – naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupan manusia ditentukan dari awal lagi oleh naluri – naluri ini. Oleh sebab itu, dengan dorongan – dorongan dari naluri – naluri ini, manusia boleh bertindak secara tidak rasional dan tidak logik. Terdapat dua naluri yang dikemukakan oleh Freud iaitu naluri kehidupan (eros) dan naluri kematian (thanatos).

Murni memiliki naluri kematian (thanatos). Freud percaya matlamat bagi semua hidupan adalah kematian. Hasil utama bagi naluri kematian adalah agresif di mana individu cuba memusnahkan orang lain atau dirinya sendiri. Murni cuba memusnahkan dirinya apabila Murni enggan mengikut Alissa untuk pergi melarikan diri dari sekolah tersebut walaupun Murni tahu dirinya juga turut terdedah kepada bahaya. Contoh lainnya adalah Murni cuba untuk memusnahkan orang lain. Apabila Alissa ditimpa bahaya ketika di penghujung cerita, Murni hanya ketawa tanpa melakukan apa – apa inisiatif untuk cuba membantu Alissa.

Selain daripada itu, struktur personaliti Freud iaitu id, ego dan superego turut dapat dilihat dalam cerita ini. Pertamanya adalah id. Id adalah sistem asal yang terdapat di dalam personaliti individu. Ia wujud sejak individu dilahirkan dan merupakan punca utama bagi tenaga jiwa dan pusat bagi semua naluri. Id bertindak mengikut prinsip keseronokan dan tidak mempunyai sistem organisasi yang teratur. Matlamat id bersifat segera. Dengan pengaruh id, manusia sentiasa berusaha untuk memaksimumkan keseronokan dan meminimumkan kesakitan.

Contohnya, Murni terpengaruh dengan rakan – rakannya untuk bermain – main dengan satu busut di belakang sekolahnya. Mereka juga telah berpakat mengenakan pihak sekolah dengan hal dirasuk yang mana Tina telah berpura – pura dirasuk. Dalam kedua – dua perbuatan ini, didapati Murni hanya mengikut rakan – rakannya yang menginginkan keseronokan dalam kehidupan mereka. Walaupun perbuatan mereka adalah tidak mengikut peraturan sekolah dan mungkin akan membawa padah, mereka tidak sedar akan kedua – dua akibat buruk tersebut.

Struktur personaliti yang tenaga jiwanya berasal dari id adalah ego. Ego merupakan eksekutif yang mengawal personaliti individu. Ego berfungsi mengikut prinsip realiti dan ia berkembang untuk memenuhi kehendak id dan dalam masa yang sama, ego berfungsi untuk memeriksa desakan id sehingga objek yang sesuai ditemui. Ego menanggung beban yang berat kerana ia terpaksa menjadi orang tengah di antara desakan – desakan id, penentuan – penentuan superego dan keadaan – keadaan persekitaran.

Ego Murni matang pada ketika Murni masih menolong Junita mendapatkan maklumat di internet mengenai bungkusan yang Junita tunjukkan padanya. Selain itu, Murni tetap menemani Junita ke tandas walaupun pada akhirnya Murni yang sakit hati apabila Junita menegur sikap prihatin Murni sebagai penyibuk tepi kain orang. Junita juga ada mengancam Murni andai Murni memberitahu rakan – rakan yang lain tentang hal Junita berjumpa dengan Cikgu Helmi.

Superego pula merupakan komponen sosial atau moral bagi sesuatu personaliti. Istilah superego digunakan oleh Freud untuk menggambarkan penghayatan nilai – nilai moral dalam masyarakat. Superego adalah pegangan moral yang menghalang kehendak id. Ia bersifat idealistik dan perfectionist. Tugas utama superego adalah menahan desakan id, memujuk ego memilih matlamat yang moral dan realistik serta berusaha untuk mencapai kesempurnaan.

Sekiranya Murni mengikut desakan id, Murni pasti akan membongkarkan hal Junita berjumpa dengan Cikgu Helmi kepada rakan – rakannya apabila mereka bertanyakan Murni mengenai hal Junita. Superego Murni berasa bersalah andai Murni tidak memberitahu rakan yang lain mengenai Junita. Walau bagaimanapun, Murni hanya memberitahu pada rakan – rakannya bahagian di mana Murni ada menemani Junita ke tandas sahaja.

Ketiga – tiga struktur personaliti manusia ini sering berinteraksi. Id mendesak, ego mengatur dan superego memerhati dan menyelia gelagat id dan ego. Walau bagaimanapun, di dalam proses – proses tersebut, ego cenderung untuk mengalami kerisauan jika ia gagal dan ketenangan jika ia berjaya. Menurut Freud, ada tiga jenis kerisauan yang dialami oleh individu. Yang ketara pada watak Murni adalah kerisauan moral. Murni berasa bersalah sekiranya dia tidak memberitahu apa yang dia tahu mengenai Junita pada malam sebelum Junita didapati tidak pulang ke dorm. Akhirnya, Murni memberitahu dia ada menemani Junita ke tandas pada malam itu.

Dalam teori psikoanalisa, Freud ada memberi penekanan terhadap mekanisme helah bela diri manusia. Tujuan mekanisme ini adalah untuk mengurangkan penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik serta membantu ego untuk mempertahankan dirinya dari desakan id. Mekanisme helah bela diri juga digunakan untuk melindungi diri dari cemuhan dan kutukan superego.

Antara mekanisme helah bela diri yang Murni gunakan adalah represi atau pendaman. Murni memendam rasa marah dan tidak puas hatinya terhadap rakan – rakannya yang suka mengambil kesempatan terhadap dirinya. Sebagai contoh, apabila Tina menyuruh Murni pergi mengambil air, Murni terpaksa melakukannya. Selain itu, Murni turut terasa hati apabila Marina lepas tangan dalam hal mengemas perpustakaan sekolah sedangkan tugasan tersebut ditugaskan kepada mereka berdua.

Justeru, apabila perasaan itu timbul ke permukaan, individu cenderung untuk menyerang individu lain yang berkaitan dengan tindakan agresif. Sebagai contoh, Murni secara tidak langsungnya, menggunakan “benda” itu untuk membalas dendam kepada rakan – rakan yang telah menyakitinya. Junita, Marina, Kerek, Zeta dan Alissa telah menjadi mangsa dendamnya. Orang lain yang tidak bersalah turut menjadi mangsa “benda” itu.

Seterusnya adalah pemindahan atau penyaluran. Pemindahan berlaku apabila terdapat percubaan secara tanpa sedar untuk memenuhi keinginan id dengan memindahkannya kepada objek lain sebagai ganti. Dalam erti kata lain, individu melepaskan desakan – desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat. Misalnya, Murni berasa geram dan tidak puas hati apabila Marina dengan selambanya melepaskan tanggungjawab mengemas perpustakaan sekolah ke bahu Murni seorang. Jadi, sebagai tanda protes, Murni menyelak helaian – helaian buku dengan kasar dan kuat.

Penafian atau penyangkalan merupakan penolakan akan adanya realiti. Ia dilakukan secara sedar atau prasedar. Penafian digunakan apabila seseorang cuba menyakinkan dirinya bahawa sesuatu perkara itu tidak wujud atau berlaku sebaliknya untuk mengelakkan tekanan. Murni yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa perbuatannya membaca mantera itu telah menyebabkan kematian rakan – rakannya. Murni menyalahkan busut yang mereka temui sebagai punca utama kematian rakan – rakannya.

Mekanisme helah bela diri yang seterusnya yang terdapat pada watak Murni adalah introjeksi. Introjeksi adalah suatu mekanisme helah bela diri yang berlawanan dengan projeksi. Ini dilakukan oleh seseorang yang ingin mengidentifikasikan dirinya dengan orang lain untuk melindungi kelemahan diri dan menyerap pengaruh orang yang didampingi. Dalam “Histeria”, Murni merupakan ahli kumpulan yang paling lemah. Jadi, Murni berbaik dengan Alissa. Keprihatinan Alissa terhadap Murni membantu Murni kekal dalam kumpulan tersebut.

Di samping itu, mekanisme helah bela diri pembentukan reaksi turut terdapat pada watak Murni. Pembentukan reaksi adalah satu mekanisme helah bela diri bagi mempertahankan diri dari sesuatu ancaman dengan memperlihatkan reaksi yang bertentangan dengan bentuk ancaman itu. Pembentukan reaksi berlaku apabila tindakan seseorang bertentangan dengan motif asalnya. Ia merupakan satu tindakan kepura – puraan.

Misalnya, dalam “Histeria”, Murni menangis apabila ditanyakan mengenai kematian rakan – rakannya. Murni menangis untuk menunjukkan bahawa dirinya tidak bersalah. Sedangkan, Murni sebenarnya puas dengan kematian rakan – rakannya tetapi Murni berpura – pura sangat sedih dan menyatakan dirinya tidak tahu mengenai apa yang telah terjadi dan tiada kaitan dengan kematian rakan – rakannya.

Rasionalisasi pula merupakan cara untuk memberi alasan – alasan atau sebab mengapa ia gagal, sebagai suatu usaha untuk mempertahankan egonya. Dalam erti kata lain, rasionalisasi adalah mempertahankan kelakuan dengan memberi alasan yang tidak benar tetapi munasabah. Contohnya, Murni bermimpi ngeri mengenai busut yang ditemui oleh dia dan rakan – rakannya tetapi Murni mengatakan bahawa dia tidak biasa tidur di dorm lama tersebut apabila ditanya oleh Junita.

Jika dilihat dari sudut teori psikoanalisa Carl Jung, terdapat beberapa konsep dalam teori Jung yang dapat dilihat pada watak Murni. Antaranya yang akan dikupas lebih lanjut adalah shadow atau bayangan, persona dan introversi.

Shadow atau bayangan merupakan arkitaip yang jauh terpendam di dalam alam tidak sedar kolektif. Bayangan mewakili kejahatan dan keadaan psyche tanpa sedar. Ia merupakan masalah moral kepada ego kerana ia menolak kawalan moral. Bayangan menyerlahkan dirinya dalam pelbagai cara iaitu kecelaruan emosi, kesakitan, serta dorongan ke arah memusnahkan diri dan orang lain.

Contoh bagi kecelaruan emosi yang dialami oleh Murni adalah apabila Murni gagal mengawal emosi dan perasaannya. Apabila terbayang – bayangkan busut tersebut, Murni akan menjerit – jerit sambil berlari – lari ke sana sini. Selain itu, Murni terdorong ke arah memusnahkan dirinya sendiri dan orang lain apabila Murni enggan mengikut Alissa lari dari tempat tersebut dan perbuatannya membaca mantera itu membawa kesan buruk ke atas dirinya dan rakan – rakannya.

Persona, menurut Jung, adalah satu bentuk arkitaip yang merupakan topeng yang dipakai oleh setiap individu untuk memenuhi konvensyen dan tradisi masyarakat serta keperluan – keperluan arkitaipnya. Ia merupakan kompromi antara kehendak persekitaran dan keperluan individu. Persona adalah ibarat topeng yang dipakai supaya hubungan dengan persekitaran berjalan dengan baik. Semua individu ada dua jenis personaliti iaitu personaliti peribadi dan personaliti awam yang mengikut kehendak dan norma masyarakat.

Persona yang ditunjukkan dalam watak Murni adalah personaliti peribadi dan personaliti awam. Contoh personaliti peribadi Murni adalah apabila Murni menggunakan ‘benda” itu untuk keperluan peribadinya di mana dia melindungi dirinya atau membalas dendam kepada rakan – rakannya menggunakan “benda” itu. Bagi personaliti awam pula, iaitu mengikut kehendak persekitaran, Murni menjadi ahli kumpulan yang pasif dan tidak menguasai untuk diterima dalam kumpulan tersebut.

Perkembangan individu, menurut Jung, dipengaruhi oleh dua jenis sikap iaitu ekstroversi yang digambarkan memiliki ciri – ciri suka bergaul, bersifat terbuka dan peramah manakala introversi pula digambarkan dengan ciri – ciri seperti pemalu, tidak banyak bercakap, bersendirian dan suka memikirkan hal – hal peribadi sendiri secara subjektif. Murni memiliki sikap introversi ini bila mana watak yang dimainkannya digambarkan sebagai lemah, tidak banyak bercakap, suka memendam rasa, tidak punya suara lantang dalam pembuatan keputusan dan juga tidak terlalu menonjol.

Selain teori psikoanalisa Sigmund Freud dan Carl Jung, teori psikologi individu yang dikemukakan oleh Alfred Adler turut boleh diaplikasikan dalam menterjemahkan watak Murni yang dilakonkan oleh Liyana Jasmay. Dua konsep yang menepati ciri – ciri pada watak Murni adalah fictional finalism dan gaya atau cara hidup mengelak.

Konsep fictional finalism adalah berdasarkan penulisan Hans Vaihinger yang menyatakan manusia mencipta idea yang menjadi panduan kepada tingkah laku mereka. Dengan mengambil pandangan tersebut, Adler percaya manusia berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Kehidupan individu selalunya ditentukan oleh idea – idea berbentuk fiksyen yang hakikatnya tidak wujud di dalam realiti. Sebagai contoh yang paling am, manusia diciptakan sama rata sedangkan di dalam kehidupan seharian layanan yang diberikan bukanlah mengikut hukum sama rata.

Orang yang lemah akan dilayan dengan negatif oleh orang yang lebih superior. Biasa dilihat atau digambarkan, di sekolah – sekolah, baik lelaki atau perempuan, akan ada satu kumpulan superior di sekolah yang mempunyai kuasa sama ada mendominasi rakan – rakan lain mahupun menjadi sasaran guru disiplin di sekolah. Dan di dalam kumpulan tersebut, aka nada yang bertindak sebagai ketua dan akan ada ahli yang lemah dan menjadi pak turut.

Ciri – ciri individu yang lemah ini digambarkan oleh Murni. Orang yang baik dan lemah sering ditindas dan merana. Murni sering disuruh membuat kerja kerja oleh Tina dan Marina serta Junita yang ada memberi amaran kepada Murni sedangkan Murni hanya berniat baik menegurnya. Begitulah yang dikatakan fictional finalism.

Adler percaya setiap individu mempunyai cara hidup yang unik. Menurut Adler, terdapat empat jenis cara hidup utama manusia iaitu jenis menguasai, jenis mendapat, jenis mengelak dan jenis bermanfaat. Jenis cara hidup yang terdapat pada watak Murni adalah jenis mengelak. Individu yang mempunyai cara hidup jenis mengelak biasanya kurang berkeyakinan dalam menyelesaikan konflik. Mereka juga lebih suka mengelak daripada berdepan dengan masalah. Mereka suka mengelamun dan berfantasi yang menggambarkan mereka sebagai seorang yang superior.

Murni lebih suka mengelak daripada berdepan dengan situasi – situasi tertentu. Murni rela menurut kata – kata rakan – rakannya untuk mengelakkan pergaduhan. Murni hanya memendam rasa dalam hatinya. Sebagai contoh, Murni hanya menurut kata – kata Marina yang menyuruhnya membaca mantera, mengikut kata Tina yang menyuruhnya mengambil air, terpaksa mengemas perpustakaan sekolah seorang diri apabila Marina melepaskan tangannya dan bila diancam oleh Junita supaya tidak memberitahu rakan – rakan mereka yang lain mengenai hal Junita berjumpa dengan Cikgu Helmi pada malam itu.

Watak Murni yang suka menurut orang lain atau pak turut dinyatakan dalam teori psikoanalisa Karen Horney. Horney menyatakan individu – individu yang suka menurut kata – kata orang lain memperlihatkan suatu keperluan yang kuat untuk dikasihi dan untuk diterima. Murni dilihat sebagai individu yang lemah dan tidak berupaya, mengikut suruhan orang lain dan bergantung kepada orang lain. Murni kurang asertif di mana dia sukar mengatakan “tidak”. Oleh kerana ingin terus kekal dalam kumpulan tersebut. Murni hanya menjadi pak turut dan menjadi watak yang diingini oleh orang lain iaitu rakan – rakannya.

haha..amacam?rare x?

ni la antara esaimen kami(student kaunseling...)
menganalisis video..

nti ak share lg benda yg rare yg korg x penah dengar..

c u..

2 comments:

kudabesi said...

histeria berlaku apabila lemah fizikal+mental+spiritual berlaku. bila nih berlaku memudahkan lagi tugas musuh kita yg nyata iaitu Syaitan.

spt kita tau syaitan blh berlari2 dlm pembuluh darah kita. lg besar, lg mudah.

jd sesetengah pengamal amat percaya, amalan keagamaan dpt mencegah dari benda nih berlaku.

bg pndangan cik kaunselor, mcm mana blh berjangkit histeria nih?

tgkpikirtulehpikirbcepikir said...

salam 1 malaysia
maaf lambat reply
minggu exam yg sgt busy
bg sy la, histeria ni berjangkit klu kite ni x pndi control rse takut kite n kite sendirik yg cari pasal ngan benda tu..
tp dr sudut agama, sy x pasti la..
insyaAllah, akan mengkaji histeria ni dengan lebih mendalam lagi..